Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany memeriksa Perbarisan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia ke-87 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Lumut. FOTO IHSAN TLDM
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany memeriksa Perbarisan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia ke-87 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Lumut. FOTO IHSAN TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Kapal penyelamat negara, MV Mega Bakti yang dihantar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala 402, yang tenggelam di perairan utara Pulau Bali, Rabu lalu kini melaksanakan rondaan bagi mencari bahan bukti tambahan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, MV Mega Bakti tiba di lokasi pencarian pada 12 tengah hari, 25 April lalu sebelum menyertai SAR.

Katanya, ia ditugaskan bersama MV Swift Rescue dari Singapura dan kapal hidrografi KRI Rigel untuk operasi mencari dan mengumpul bahan bukti dari KRI Nanggala di posisi yang disahkan tenggelam.

"MV Mega Bakti bersedia menggunakan semua keupayaan untuk operasi ini termasuk penggunaan Intervention Remotely Operated Vehicles (IROV).

"Kedalaman lokasi akhir KRI Nanggala pada 839 meter adalah jauh melebihi kemampuan IROV MV Mega Bakti iaitu 650 meter saja, namun Tim Carilamat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusaha mengoperasikan IROV untuk mendapatkan bukti tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Ulang Tahun TLDM ke-87 di pusat latihan Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Istiadat perbarisan itu membabitkan sembilan kontinjen terbahagi kepada tiga divisyen terdiri 28 pegawai dan 478 anggota lain-lain pangkat diketuai Komander Salleh Sauli dan dibantu Komander Ahmad Zaini Abdul Ghani serta Pegawai Waran I Mohd Fauzee Abu.

Mohd Reza berkata, penugasan MV Mega Bakti seterusnya bergantung kepada Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

"Kita sentiasa berhubung (dengan MV Mega Bakti), saya tahu apa yang berlaku di lapangan dan koordinasi SAR di peringkat TLDM dikoordinasikan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir," katanya turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga kru kapal selam KRI Nanggala 402.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 8:21 PM