KRI Nanggala 402 milik Tentera Indonesia (TNI) masih belum ditemui. FOTO EPA.
KRI Nanggala 402 milik Tentera Indonesia (TNI) masih belum ditemui. FOTO EPA.
Agensi

Jakarta: Kapal selam KRI Nanggala 402 yang hilang sejak Rabu lalu dan masih belum ditemui adalah insiden pertama yang berlaku di Indonesia, mahupun rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, ia bukan kemalangan yang jarang berlaku kerana menurut jurucakap tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang dipetik BBC, beberapa insiden pernah dilaporkan sebelum ini termasuk paling buruk pada 2000.

Insiden lebih 21 tahun itu berlaku ke atas Kursk iaitu kapal selam milik tentera laut Rusia yang tenggelam semasa menjalani latihan skala besar di perairan Barents.

Seramai 118 kru terbunuh ketika kejadian, yang mana hasil siasatan mendapati insiden disebabkan satu daripada torpedo di dalam kapal itu meletup yang turut menjejaskan senjata lain.

Kebanyakan kru Kursk maut serta-merta namun, ada sebahagiannya selamat untuk beberapa hari sebelum sesak nafas dan meninggal dunia.

Pada 2003, China kehilangan 70 pegawai dan tentera lautnya selepas berlaku kemalangan membabitkan kapal selam, Ming-class ketika latihan.

Lima tahun kemudian, 20 kru kapal selam Rusia maut akibat keracunan gas apabila sistem pemadaman api tidak sengaja diaktifkan ketika kapal itu diuji di perairan Jepun.

Sementara pada 2017, kapal selam milik tentera Argentina hilang di perairan Atlantik selatan bersama 44 kru.

Bangkai kapal itu ditemukan setahun kemudian (2018) dan wakil rasmi negara mengesahkan aset berkenaan meletup di dasar laut.

Mengenai KRI Nanggala 402, kapal selam penyerang buatan Jerman itu membawa 53 kru bagi menjalani latihan menggunakan torpedo di perairan Bali ketika ia meminta kebenaran untuk menyelam dan kemudian terputus hubungan pada Rabu.

Pihak berkuasa memaklumkan bekalan oksigen dalam kapal selam itu mampu bertahan selama tiga hari iaitu hingga awal pagi Sabtu, namun sehingga kini belum ada tanda penemuan.

Terdahulu, pihak berkuasa mengumumkan menemui tumpahan minyak di lokasi dipercayai kapal selam itu berada, yang memungkinkan berlaku kerosakan tangki.

"Tumpahan minyak adalah petunjuk buruk. Jika ia daripada kapal selam itu, maka itu mungkin pengakhiran," kata naib laksamana bersara Perancis, Jean-Louis Vichot yang dipetik AFP.

Terdapat kebimbangan kapal selam itu mungkin musnah akibat tekanan dalam air sekiranya mencapai kedalaman 700 meter, yakni melangkaui ketahanannya.

Aset itu dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981 serta pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman, kemudian di Korea Selatan pada 2012, bagi penggantian struktur dan naik taraf ke atas sistem penggerak, sonar dan senjata.

Berita berkaitan:

  • Doakan kru KRI Nanggala 402
  • P-8 Poseidon tiba, bantu cari KRI Nanggala 402
  • Tentera kesan isyarat objek kemagnetan tinggi

  • AS hantar aset bantu pencarian kapal selam Indonesia
  • Bekalan oksigen ada 72 jam lagi
  • Kapal selam Indonesia hilang
  • Kesan tumpahan minyak
  • TLDM bantu pencarian kapal selam Indonesia
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 2:03 PM