MV Mega Bakti
MV Mega Bakti
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kapal MV Mega Bakti selamat kembali di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar di sini, hari ini selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Sumber daripada Bahagian Perhubungan Awam, Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu berkata, kapal operasi SAR kapal selam TLDM itu tiba pada 9 pagi.

Beliau berkata, 54 kru pasukan mencari dan menyelamat itu diketuai koordinatornya Komander Mohd Hairul Fahmy Yob berada dalam keadaan baik dan selamat ketika tiba di pangkalan itu serta akan melalui prosedur mendarat yang ditetapkan.

"Semua 54 kru itu yang terdiri dari tujuh pegawai dan anggota TLDM dan tiga pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 44 kru MV Mega Bakti selamat tiba.

"Mereka yang terbabit menjalani ujian saringan Covid-19 selepas tiba bagi memastikan mereka bebas daripada pandemik itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan operasi SAR kapal selam dan operasi KRI Nanggala 402 adalah yang operasi SAR kedua kapal itu selepas terbabit dalam pencarian MH370 dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

MV Mega Bakti belayar daripada Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar di sini pada 22 April lalu sebelum tiba di perairan Bali pada 25 April dan menamatkan operasi itu pada 30 April sebelum belayar pulang ke Kota Kinabalu.

Pada 25 April lalu, Panglima Tentera Nasional Indonesia Hadi Tjahjanto dilaporkan mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:54 PM