MV Mega Bakti
MV Mega Bakti
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Malaysia melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengatur gerak kapal penyelamat MV Mega Bakti bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402, yang terputus hubungan di perairan utara Pulau Bali.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kapal selam milik TLDM itu sudah diatur gerak jam 7 pagi ini.

"Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghubungi Menteri Pertahanan Republik Indonesia TYT Prabowo Subianto, hari ini, bagi melahirkan rasa simpati kepada seluruh warga TNI dan Kementerian Pertahanan Republik Indonesia serta rakyat Indonesia atas kejadian berkenaan.

"Semasa perbualan itu, beliau memaklumkan sebagai negara sahabat, Malaysia mengatur gerak kapal penyelamat kapal selam TLDM iaitu MV bagi membantu operasi SAR kapal itu," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi SAR yang diketuai oleh Komander Mohd Hairul Fahmy Yob itu membabitkan 54 kru terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TLDM, tiga pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 44 kru MV Mega Bakti.

MV Mega Bakti belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka tiba di lokasi SAR pada jam 3 petang Ahad ini.

Operasi SAR itu yang kedua membabitkan MV Mega Bakti selepas terbabit dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

Selain itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR itu dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

Selain menekankan pendekatan Diplomasi Pertahanan, katanya, operasi itu juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:30 PM