KAPAL MV Mega Bakti milik TLDM tiba di lokasi kapal selam Indonesia, KRI Nanggala hilang untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
KAPAL MV Mega Bakti milik TLDM tiba di lokasi kapal selam Indonesia, KRI Nanggala hilang untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Indonesia, KRI Nanggala dilaporkan tiba di lokasi pencarian di Laut Bali tadi.

Ketibaan kapal penyelamat kapal selam negara itu disahkan pihak TLDM apabila Tim Operasi Carilamat TLDM tiba di lokasi pencarian 3 jam 45 minit lebih awal dari masa dijadualkan iaitu pada jam 3 petang.

Difahamkan anggota TLDM akan memulakan operasi SAR selepas melakukan taklimat dengan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Tentera Nasional Indonesia (TNI).

MV Mega Bakti sebelum ini menempuh pelayaran jauh dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, pada jam 7 pagi Khamis lalu, bagi menyertai usaha menjejaki kapal selam, KRI Nanggala serta 53 anak kapalnya yang masih hilang.

Pembabitan MV Mega Bakti membuktikan sebarang aset TLDM boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa singkat.

Semalam, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan penemuan beberapa serpihan dan minyak milik KRI Nanggala di lokasi nahas.

Kapal selam Indonesia itu dilaporkan hilang di perairan Pulau Bali kira-kira jam 10.37 pagi Rabu lalu.

Misi SAR pihak tentera Indonesia juga menunjukkan kemungkinan kapal selam malang berkenaan terdampar di kedalaman 850 meter di dasar laut.

Bagaimanapun sehingga kini, pihak berkuasa Indonesia masih gagal memberikan kepastian nasib 53 anak kapal KRI Nanggala selepas bekalan oksigen di kapal selam itu didakwa hanya mampu bertahan sehingga jam 3 pagi semalam.

Selain MV Mega Bakti, kapal-kapal negara asing yang turut serta dalam misi itu adalah dari Singapura, India, Australia serta pesawat P-8A Poseidon daripada Amerika Syarikat.

Operasi SAR MV Mega Bakti diketuai Komander TLDM, Mohd Hairul Fahmy Yob selaku Penyelaras Rescue Force (CRF) yang turut membabitkan 54 kru dengan terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TLDM dan tiga pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 44 kru MV Mega Bakti.

MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

Operasi SAR itu adalah yang kedua membabitkan MV Mega Bakti selepas terbabit dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

Keupayaan dan peralatan SAR yang terdapat di atas MV Mega Bakti merangkumi Distress Submarine Ventilation Depressurrized System, GPS Intelligent Buoy (GIB) System - Localisation of Pinger Dan teknologi canggih lain.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 4:08 PM