Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood, menunjukkan operasi rampasan beras.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood, menunjukkan operasi rampasan beras. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Yusmizal Dolah Aling


Putrajaya: Ketika sambutan Aidilfitri berbaki kurang dua minggu lagi, pihak berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan beras tidak sah dari Bangladesh kian meningkat ke negara ini.

Setiap bulan, dianggarkan sejumlah beras dari Bangladesh dibawa masuk melalui beberapa laluan ke negara ini dipercayai atas permintaan jutaan warganegara Bangladesh dan pelarian Rohingya di sini.

Untuk rekod, Harian Metro sebelum ini pernah mendedahkan kegiatan penyeludupan beras tidak sah dari India.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, tindakan menyeludup beras dari Bangladesh dikesan baru-baru ini hasil tindakan penguatkuasaan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Katanya, beras berkenaan diseludup masuk berdasarkan permintaan tinggi pekerja Bangladesh dan etnik Rohingya di negara ini.

"Kita dapati trend ini semakin meningkat dan dijangka berterusan sehingga Aidilfitri kerana bekalan ini mempunyi pembeli tetap. Hasil semakan mendapati, setiap bulan ada saja stok akan masuk dan berjaya kita patahkan. Kemungkinan ada lagi yang belum kita kesan.

"Kemasukan beras pelbagai jenama dari Bangladesh ini memberi kesan kepada pasaran beras tempatan sebanyak tiga hingga empat peratus berdasarkan penggunaan warga Bangladesh yang ada di negara ini.

"Bukan itu saja, seperti juga beras tidak sah dari India yang kita dedahkan sebelum ini, ia menjejaskan kutipan cukai negara kerana diseludup masuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, beras Bangladesh berkenaan lebih rendah kualiti daripada beras tempatan dan dijual pada harga RM10 untuk tiga kilogram (kg).

"Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994," katanya.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan berterusan penguatkuasa KPB, pihaknya sudah merampas sejumlah 300 tan beras sejak April 2020 sehingga kini membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta 522.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada agensi kerajaan lain termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bersama-sama dalam operasi membanteras beras seludup ini dan berharap ia akan diteruskan.

"Walaupun kita berada di dalam suasana sambutan perayaan, penguatkuasa KPB akan terus memantau dan menyerbu lokasi dipercayai menjadi tempat penyimpanan beras ini. Kita tak akan berkompromi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:38 PM