PENGUATKUASA Kawalselia Padi dan Beras memeriksa lori yang membawa muatan beras di laluan berhampiran sempadan negara.
PENGUATKUASA Kawalselia Padi dan Beras memeriksa lori yang membawa muatan beras di laluan berhampiran sempadan negara.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Selepas menggempur sindiket penyeludupan beras yang membawa 'stok' hari raya lebih dua minggu lalu, penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mengaktifkan operasi bersepadu di sempadan negara yang berakhir semalam.

Operasi itu turut disertai polis, Pasukan Gerakan Am, Rela dan Jabatan Hutan khusus untuk memeriksa lori yang membawa muatan beras di laluan berhampiran sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung, Kedah dan Pengkalan Hulu, Perak.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, operasi dua hari itu diadakan bagi membanteras penyeludupan beras serta beras tanpa permit yang berleluasa sebelum ini.

Katanya, dalam pemeriksaan di tiga lokasi itu, pihaknya mendapati semua beras yang dibawa mempunyai permit sah.

"Sejak kita mengesan aktiviti penyeludupan awal Ramadan lalu, KPB menggerakkan anggota dan pegawai di seluruh negara untuk memantau.

"Setakat ini kita berpuas hati dengan hasil pemeriksaan dan akan teruskan bagi memastikan sindiket tidak mengambil kesempatan pada musim perayaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pemeriksaan juga menjurus kepada kemungkinan lori membawa muatan seludup lain seperti mercun dan barangan lain.

Azman berkata, dengan adanya operasi seperti itu, pihaknya percaya dapat mengawal penyeludupan yang berlaku di pintu masuk negara setiap kali musim perayaan.

"Kita kena kawal kerana ada permintaan di negara ini untuk mendapatkan beras wangi, beras pulut dan basmathi. InsyaAllah, kita akan teruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:48 PM