GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 di Mahkamah Sesyen Kajang hari ini kerana melepaskan efluen perindustrian mentah ke dalam Sungai Balak.

Kilang itu didakwa melepaskan efluen melebihi had piawai yang ditetapkan di kawasan tadahan air serta melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai ke dalam sungai itu pada 28 Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan memaklumkan, hukuman denda itu dijatuhi Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas syarikat itu selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengurus sumber manusianya mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, syarikat didakwa melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai sepertimana yang ditetapkan mengikut Peraturan 11(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai seperti mana yang ditetapkan mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Pertuduhan ketiga pula, syarikat didapati melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai daripada premis ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Balak tanpa lesen.

"Bagi pertuduhan keempat, syarikat didapati gagal patuh kepada spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian manakala pertuduhan kelima, syarikat didapati gagal memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai kejadian pembuangan efluen perindustrian secara tidak sengaja ke dalam perairan pedalaman dalam tempoh tidak lebih daripada enam jam.

"Manakala untuk pertuduhan keenam, syarikat didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tak terlarut campur dengan air ke dalam perairan pedalaman," katanya.

Beliau berkata, bagi setiap pertuduhan, syarikat boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, kes terbabit adalah antara 15 kes kecemasan pencemaran sumber air pada tahun lalu yang dapat dihalang daripada menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

"JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 3:36 PM