Dr Chin Zin Hing. FOTO MELVIN JONI
Dr Chin Zin Hing. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Kesemua individu yang positif Covid-19 di Bintulu yang memberikan maklumat peribadi palsu antara 12 hingga 21 April lalu sudah dikesan, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Bagaimanapun, jelasnya dalam tempoh berkenaan (12 April sehingga 21 April), Jabatan Kesihatan Sarawak masih dalam usaha untuk menghubungi kesemua individu terbabit dan proses itu selesai.

"Terkini, Jabatan Kesihatan Sarawak ingin memaklumkan bahawa kesemua individu yang dinyatakan sebenarnya telahpun dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing pada 25 April lalu bahawa lebih 100 kes yang didapati positif Covid-19 di Bintulu antara 12 April hingga 21 April 2021 tidak dapat dikesan atau dihubungi kerana memberikan maklumat peribadi palsu.

Menurut Dr Chin, bagi pelaksanaan aktiviti Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD), kebiasaannya maklumat setiap individu juga dirujuk melalui kad pengenalan, pasport atau nombor rujukan klinik masing-masing untuk maklumat hubungan (komunikasi) seperti alamat dan sebagainya.

"Jabatan Kesihatan akan menghubungi individu terbabit sama ada melalui telefon, kenalan, ahli keluarga atau dengan kaedah mengesan beliau di alamat yang diberikan," katanya.

Justeru, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak menyeru semua pihak dan orang ramai supaya sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan wabak pandemik Covid-19 dapat ditangani serta dikawal.

Tegasnya kegagalan memberi kerjasama apabila dikehendaki memberikan maklumat di bawah Seksyen 22(d) Akta 342, seperti memberi maklumat palsu dan jika disabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 24(a) akta berkenaan, dengan kesalahan pertama boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

"Jabatan Kesihatan Sarawak menasihati mana-mana individu atau kontak yang telah dihubungi, agar bekerjasama sepenuhnya.

"Semua usaha yang dilakukan adalah semata-mata untuk mengesan sebarang risiko jangkitan di peringkat awal dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga mereka serta masyarakat," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 11:09 AM