GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Oleh Erika George

[email protected]

Kuching: Dua kluster baharu membabitkan institusi pendidikan dan komuniti dikesan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Jalan Bintulu-Sibu dan Kluster Tarat Tani, Serian.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata Kluster Jalan Bintulu-Sibu, Tatau membabitkan sebuah sekolah menengah dan penempatan penduduk di Kilometer 60, Jalan Bintulu-Sibu dalam Daerah Tatau.

Menurutnya, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-18,771 membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Tatau pada 6 April lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 10 April lalu.

"Pergerakan kes indeks ini hanya membabitkan sekitar Daerah Tatau sebelum mula masuk ke asrama sekolah pada 4 April yang mana kes kemungkinan mendapat jangkitan dari komuniti.

"Hasil siasatan dan pengesanan kes secara aktif dalam kalangan kontak keluarga, rakan sekolah dan kontak kasual menjadikan 10 kes lagi dikesan positif Covid-19," katanya.

Jurucakap berkata, sehingga kini 546 individu sudah disaring dan 186 kes didapati negatif saringan pertama; dan 349 yang masih menunggu keputusan makmal.

"Semua kes positif dirujuk ke Hospital Bintulu dan dimasukkan ke pusat kuarantin di Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

"Manakala pelajar asrama sekolah terbabit diletakkan dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan," jelasnya.

Sementara itu, Kluster Tarat Tani, Serian pula dikesan di kuarters kerajaan di Tarat di daerah Serian.

Menurutnya, indeks kes kepada kluster adalah kes ke-19,877 iaitu seorang wanita warga tempatan, 39, yang dikesan menerusi saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tarat pada 9 April lalu dan didapati positif pada 10 April.

"Kes indeks adalah seorang suri rumah yang menjangkiti dua orang anaknya iaitu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tarat, Serian.

"Punca jangkitan masih disiasat dan berkemungkinan mendapat jangkitan melalui jangkitan komuniti, yang kemudiannya merebak kepada ahli keluarga dan individu lain di tempat tinggal kuarters kerajaan termasuk sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan Tarat.

"Sejumlah 21 kes dikesan positif, 320 sudah disaring dan 153 kes masih menunggu keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:52 PM