GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George


Bintulu: Lebih 100 individu di sini yang disahkan positif Covid-19 dari 12 hingga 21 April masih gagal dihubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga hari ini.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak Hospital Bintulu tidak dapat mengesan semua individu terbabit kerana memberikan alamat serta maklumat peribadi palsu sekali gus menyukarkan semua mereka untuk dihubungi bagi tujuan rawatan dan kuarantin.

"Semua individu terbabit mempunyai masa 24 jam untuk datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu bagi membolehkan mereka dirawat dan dikuarantin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan semua individu terbabit berhadapan dengan penguatkuasaan undang-undang termasuk mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan serta membawa mereka ke muka pengadilan.

Katanya, perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri, namun mendatangkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga, rakan taulan serta seluruh komuniti yang berada berdekatan.

"Sikap individu terbabit yang memberikan alamat serta maklumat peribadi palsu amat dikesali kerana ia menyukarkan usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di bahagian ini.

"Dalam masa sama, saya memohon bantuan orang ramai terutama ahli keluarga individu terbabit supaya menasihatkan ahli keluarga mereka melaporkan diri di kaunter Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tiong memberikan amaran buat majikan yang menyembunyikan status kesihatan pekerja yang disahkan positif Covid-19 dengan memaksa mereka berbohong bagi menggelakkan premis ditutup sementara bagi tujuan sanitasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 2:41 PM