UGGAH. FOTO Arkib NSTP
UGGAH. FOTO Arkib NSTP
Erika George


PUSAT Kuarantin koronavirus baharu (Covid-19) Taman Negara Similajau di Bintulu bersedia 24 jam bagi menerima pesakit untuk proses pengasingan serta kuarantin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pusat kuarantin yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Hospital Bintulu bersiap sedia menerima pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, seorang daripada 90 peserta dari Bintulu yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu disahkan positif Covid-19 menjadikan kesemua 20 kes positif virus berkenaan di Sarawak setakat ini.

“Bagi kawasan Bintulu setakat ini, 23 individu terbabit sudah diambil sampel darah, bagaimanapun belum disahkan sama ada mereka dijangkiti atau tidak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kuarantin Covid-19 Taman Negara Similajau, di Bintulu, hari ini.

Uggah berkata, ketika ini Taman Negara berkenaan ditutup sementara sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai mengelak daripada menganjurkan sebarang kegiatan riadah atau acara berkumpulan yang dihadiri lebih dari 50 individu.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan berlakunya risiko jangkitan virus pembunuh itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:03 PM