DR Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan vaksin keluaran AstraZeneca adalah selamat untuk digunakan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki fasa kedua.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia akan digunakan terhadap penduduk negara ini yang berusia 60 tahun ke atas, yang dinilai paling sesuai menerima vaksin berkenaan.

Beliau berkata, ia akan digunakan melalui fasa kedua PICK.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila pemberian vaksin keluaran AstraZeneca itu akan dimulakan.

"AstraZeneca selamat untuk digunakan dan berkesan serta akan digunakan untuk mereka berusia 60 tahun ke atas yang paling sesuai.

"(Vaksin AstraZeneca) sudah sampai sebanyak 280,000 dos dan kita akan gunakan," katanya pada sidang media mingguannya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Chong Chee Kheong; dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy.

Dr Adham berkata, ketika ini negara sudah mempunyai banyak calon vaksin termasuk jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, selain AstraZeneca.

Sabtu lalu, Dr Adham dilaporkan berkata, Malaysia menerima 268,800 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang diperoleh melalui fasiliti COVAX.

Beliau dilaporkan berkata, penghantaran pertama bagi vaksin berkenaan adalah bagi kegunaan tiga peratus jumlah populasi negara.

Sementara itu, Dr Kalairasu yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin Covid -19 (JKKPCV) KKM berkata, dari segi pra-klinikal, vaksin Covid-19 jenis Astrazeneca yang menggunakan platform 'viral vector' adalah baik untuk digunakan mencegah wabak berkenaan.

Beliau berkata, keputusan penggunaan vaksin keluaran AstraZeneca itu selepas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusi oleh Dr Adham dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin memohon pendapat jawatankuasa panel diketuai oleh Dr Hishamshah.

Beliau berkata, selepas KKM meneliti pelbagai data panel berpendapat vaksin AstraZeneca mendatangkan kebaikan dan kes pembekuan darah adalah kurang berlaku.

"Seramai 22 pakar daripada pelbagai disiplin menyertai panel ini dan tiga syarat ditetapkan dalam menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca iaitu mampu kurangkan kemasukan ke hospital, kurangkan kemasukan ICU (unit rawatan rapi) dan risiko kematian akibat Covid-19.

"Jika dibandingkan risiko dan kebaikan vaksin itu, vaksin berkenaan sesuai digunakan untuk golong berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Pada masa sama, Dr Kalairasu berkata, pihaknya akan meneliti data dari negara lain berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca untuk golongan dewasa yang berusia antara 18 dan 40 tahun ke atas di negara ini.

"Syor penggunaan vaksin Astrazeneca ini akan disesuaikan semula selepas kita teliti data-data yang ada," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 3:33 PM