GAMBAR hiasan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
GAMBAR hiasan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kerajaan sedia menggunakan lebih 500,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China yang dibotolkan Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Pharmaniaga dijangka membekalkan 180,000 dos minggu ini manakala 450,000 dos lagi dijangka tersedia pada 18 Mei ini.

"Vaksin itu kini sedang melalui ujian oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Vaksin dibekalkan secara 'fill-and-finish' akan mula digunakan bermula bulan ini," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, negara akan menerima bekalan seterusnya vaksin keluaran Pfizer-BioNTech sebanyak 259,740 dos pada bulan ini.

Beliau berkata, sebanyak 197,730 dos akan tiba pada 19 Mei, 44,460 dos pada 20 Mei dan keesokan harinya sebanyak 17,550 dos lagi akan sampai.

"Termasuk dengan angka ini, jumlah dos vaksin Pfizer yang telah dan akan kita terima sehingga 21 Mei adalah 2,490,930 dos.

"Bagi vaksin AstraZeneca, ketibaan bekalan kedua dijadualkan pada 20 Mei 2021 dan yang ketiga pada 1 Jun 2021 dengan jumlah 615,120 dos sekali penghantaran," katanya.

Sementara itu, Khairy sekali lagi menafikan kadar vaksinasi negara adalah rendah.

Beliau berkata, kadar penggunaan vaksin di Malaysia untuk waktu ini adalah 75 peratus.

"Sememangnya, kami ingin meningkatkan lagi kadar ini ke 80 peratus, tetapi sudah pastinya kami tidak boleh pergi lebih tinggi daripadaperatusan ini kerana perlunya simpanan untuk dos kedua sebelum tibanya bekalan vaksin seperti dijadualkan.

"Ketika ini, proses vaksinasi dijalankan selama enam hari seminggu dan ia akan ditingkatkan kepada tujuh hari seminggu sebaik bekalan vaksin Covid-19 meningkat dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin di masa depan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta mana-mana individu yang mengalami kesan samping teruk selepas menerima vaksin Covid-19 untuk tampil mendapatkan rawatan dengan segera.

Beliau berkata, bahagian farmasi di KKM akan merekodkan semua laporan serta aduan diterima melalui aplikasi MySejahtera.

"KKM turut mengumpul rekod aduan dikemukakan penerima apabila mereka menerima rawatan di hospital.

"Kami merayu kepada penerima jika mereka memerlukan rawatan di hospital, jangan tunggu di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 7:06 PM