DR Hishamshah (tengah) dan Dr Kalaiarasu (tiga, kiri) bersama panel pakar perubatan pada sesi libat urus media mengenai vaksin Covid-19 di Kementerian Kesihatan, hari ini. FOTO Bernama
DR Hishamshah (tengah) dan Dr Kalaiarasu (tiga, kiri) bersama panel pakar perubatan pada sesi libat urus media mengenai vaksin Covid-19 di Kementerian Kesihatan, hari ini. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Insiden pembekuan darah atau thrombosis yang amat jarang berlaku (very rare) dalam kalangan penerima vaksin keluaran AstraZeneca, dilihat amat kecil berbanding dengan pemberian vaksin berkenaan di seluruh dunia.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata, berdasarkan data diperoleh daripada Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) serta dari seluruh dunia, sebanyak 168 kes thrombosis dengan sindrom thrombocytopenia yang amat jarang berlaku dikesan sejak Mac lalu, manakala kira-kira 21.6 juta individu sudah menerima vaksin AstraZeneca di seluruh dunia.

"Insiden ini dikira hampir 7.9 dalam setiap juta vaksin diberi. Ini adalah satu bilangan yang amat-amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan dos yang diberi.

"Berkenaan kemungkinan kaitannya (dengan vaksin AstraZeneca) yang disuarakan oleh EMA, ia tiada bukti," katanya pada sesi libat urus bersama media mengenai vaksin, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Dr Kalairasu yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin Covid -19 (JKKPCV) KKM berkata, penemuan MHRA dan EMA pada 7 April lalu juga mendapati vaksin AstraZeneca selamat untuk digunakan untuk orang dewasa seperti pengesyoran terdahulu dan boleh digunakan seperti pemberitahuan sewaktu pendaftarannya sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, dari segi penggunaannya, negara-negara boleh membawa perubahan kepada pemberian vaksin berkenaan, bergantung kepada penularan di negara masing-masing.

"Kebanyakan di Eropah mereka menggunakan vaksin sepenuhnya terhadap rakyatnya yang berusia 18 tahun ke atas.

"Namun, ada perubahan di beberapa negara. Jerman pada peringkat awal tidak mengguna vaksin kepada mereka yang berusia lebih 65 tahun berdasarkan data tetapi selepas diguna pakai mereka merasakan ia sesuai untuk golongan ini.

"Belgium yang menggantungkan pemberian vaksin AstraZeneca, selepas EMA memberi sokongan yang mengatakan ia selamat (ia diteruskan semula) dan menurunkan usia pemberian vaksin kepada 40 tahun," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit KKM, Dr Benedict Sim Lim Heng berkata, mereka yang menerima vaksin perlu peka dengan gejala yang dihidapi antara empat hari hingga satu bulan selepas mendapat vaksin.

Katanya, antara gejala yang perlu diberi perhatian termasuk sakit kepala teruk yang tidak baik walaupun sudah mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol; sakit kepala teruk apabila berbaring; sakit kepala sehingga berasa mual dan muntah serta sakit kepala dengan terjejas penglihatan.

"Selain itu mereka mungkin mengalami sakit kepala dengan rasa mengantuk atau sawan serta gejala seperti menjurus kepada angin ahmar.

"Dalam senarai gejala itu juga ada menyatakan masalah pendarahan seperti lebam atau kesesakan nafas, sakit dada, bengkak kaki dan sakit perut berterusan.

"Sekiranya ada gejala ini, mereka dinasihatkan untuk ke hospital dan akan diarah menjalani ujian," katanya.

Pun begitu, beliau berkata, kebanyakan simptom itu mungkin tidak ada kaitan dengan vaksin yang diterima, namun mereka akan tetap diperiksa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:13 PM