Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilaksanakan kerajaan dilihat berkesan apabila seramai 192,260 Pati sudah dihantar pulang ke negara asal.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan memberi peluang kepada Pati untuk pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

"Program ini dilaksanakan dari 1 Ogos lalu memberi kesan sangat baik apabila kita berikan ruang kepada mereka pulang secara sukarela.

"Kita harap lebih ramai Pati pulang ke tanah air mereka. Kalau mereka ingin pulang dialu-alukan dan saya percaya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka lagi supaya ramai dapat pulang," katanya dalam sidang media hari ini.

Ditanya mengenai pelaksanaan pelan rekalibrasi berbanding pengusiran yang dilakukan kerajaan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, pengusiran memerlukan perbelanjaan yang besar kepada kerajaan manakala sukarela ditanggung oleh Pati terbabit.

Selain itu, katanya, JIM sentiasa memantau pergerakan warga asing yang bekerja di negara ini dan naziran sentiasa dilakukan di tempat kerja untuk memastikan mereka kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:09 PM