GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Jemaah Menteri bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga hujung tahun ini, atau sehingga PICK tamat.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin itu ke Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan negeri berkenaan.

Pelan bagi pengurusan dan meregularisasikan Pati di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak mempunyai dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Pelaksanaan asal Pelan Rekalibrasi Pati itu bermula dari 16 November tahun lalu hingga 30 Jun ini.

Menurut Wan Ahmad Dahlan sehingga 1 Julai, seramai 248,083 Pati sudah mendaftar untuk menyertai Pelan Rekalibrasi berkenaan.

Daripada jumlah itu 97,892 individu mendaftar untuk pulang ke negara asal melalui Program Rekalibrasi Pulang manakala 149,889 orang lagi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:56 PM