Antara remaja yang didakwa melakukan aktiviti berlumba di lebuhraya WCE di Lekir, Sitiawan di Manjung. FOTO IHSAN PEMBACA.
Antara remaja yang didakwa melakukan aktiviti berlumba di lebuhraya WCE di Lekir, Sitiawan di Manjung. FOTO IHSAN PEMBACA.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis sentiasa memantau dan menggempur aktiviti mat motor di empat lokasi, di sini, yang dikenal pasti sering dijadikan lokasi kumpulan itu untuk menguji kepantasan motosikal mereka.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima empat aduan berhubung aktiviti yang sering dilakukan kumpulan berkenaan terutama selepas solat tarawih.

"Kita mengenal pasti lokasi aktiviti itu di Jalan Batu 12 Lekir ke susur lampu isyarat Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Jalan Semarak Api Seri Manjung, Kilometer (KM) 5 hingga 9 Lumut-Sitiawan dan KM 6 hingga 8 Lumut-Sitiawan.

"Kumpulan mat motor berkenaan terdiri pelajar dan ada segelintir sudah bekerja berusia antara 17 hingga 26 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran memaklumkan jalan masuk ke Lebuhraya WCE di Lekir, Sitiawan menjadi syurga lumba haram segelintir remaja sekitar Lekir.

Dia turut mendakwa aktiviti itu bermula selepas solat tarawih dan berakhir dalam satu hingga dua jam kemudian.

Walaupun polis dikatakan sudah mengambil tindakan, namun aktiviti berkenaan masih berulang.

Nor Omar berkata, dalam operasi bermula 13 April lalu hingga semalam, pihaknya memeriksa sebanyak 248 motosikal dan 295 individu dengan sebanyak 178 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Menurutnya, empat lelaki berusia 16 hingga 24 tahun ditahan manakala sebanyak 23 motosikal disita.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 6:48 PM