GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Wanita tergamak mengetuk kepala ibunya dengan telefon bimbit selain memukul lengannya dengan penyapu berikutan berang apabila wanita itu meminta rakan lelakinya keluar dari rumah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, mangsa berusia 59 tahun yang tinggal di Kampung Bagan Dalam, di sini, pergi ke rumah anak bongsunya berusia 24 tahun di Pangsapuri Sri Bagan, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendapati terdapat seorang lelaki berada dalam kediaman anaknya lalu meminta lelaki itu beredar.

"Tindakan mangsa menyebabkan anaknya mengamuk lalu mengambil penyapu dan memukul lengan kanan mangsa selain mengetuk kepala ibunya dengan telefon bimbit.

"Anak mangsa kemudian mengugut mahu membunuh mangsa jika ibunya membuat laporan polis," katan2ya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sebagai pesakit luar sejurus kejadian berikutan mengalami kesakitan di bahagian yang dipukul anaknya.

"Wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian kerana bimbang akan keselamatannya selepas diugut anaknya.

"Mangsa memaklumkan anaknya itu kini semakin emosi kerana tiada sumber pendapatan dan terputus bekalan dadah," katanya.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:19 PM