GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon untuk membatalkan saman pemula difailkan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara terhadap Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika Syarikat serta tiga pihak lagi berhubung perintah ekstradisi ke Amerika Syarikat ke atas lelaki berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata AGC memfailkan permohonan itu pada 7 April lalu atas alasan saman pemula yang dikemukakan Mun Chol Myong, 55, selaku plaintif menjadi akademik kerana beliau sudah diekstradisi ke Amerika Syarikat.

"Selain itu, perkara yang dibangkitkan plaintif adalah terhalang oleh res judicata kerana dibangkitkan ketika prosiding habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Disember 2019.

"Mahkamah juga menetapkan 24 Jun ini untuk mendengar permohonan pembatalan saman tersebut dan isu mengenai penyerahan saman pemula kepada Kerajaan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin hari ini yang turut dihadiri peguam Datuk Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain yang mewakili Mun.

Pada 8 Mac lalu, Mun memfailkan saman pemula itu dengan menamakan Pendakwa Raya, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat, masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Mun memohon satu deklarasi bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 adalah tidak berpelembagaan, batal, tidak sah dan tiada kesan kerana bertentangan dengan Perkara 4 (1), Perkara 5 (1), Perkara 5 (2), Perkara 8 (1), Perkara 8 (2), Perkara 9 (1), Perkara 9 (2) dan Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan serta Pindaan ke-8 dan Pindaan ke-14 Perlembagaan Amerika Syarikat.

Beliau juga memohon satu injunksi bagi menghalang Kerajaan Amerika Syarikat daripada mengambil tindakan melalui Menteri Dalam Negeri Malaysia, KDN Malaysia dan Kerajaan Malaysia menurut Perjanjian Ekstradisi antara kedua-dua negara itu yang ditandatangani pada 3 Ogos 1995.

Selain itu, turut dipohon satu deklarasi bahawa perintah Menteri Dalam Negeri Malaysia kepada Majistret pada 8 Julai 2019 pada masa material terhadap plaintif adalah diisytiharkan batal dan tidak sah yang akibatnya akan membatalkan perintah ekstradisi Mahkamah Sesyen pada 13 Disember 2019.

Dalam permohonan itu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menyalahgunakan Seksyen 4 dan Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 yang tidak berperlembagaan itu untuk menyekat kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Sesyen dengan tidak membenarkan bukti dikemukakan dan hal ini telah mendiskriminasikan plaintif serta menyebabkannya ditahan sambil menunggu ekstradisi.

Pada 13 Mei 2019, pendakwaan memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret untuk waran tangkap sementara terhadap Mun yang kemudiannya dibenarkan pada hari yang sama.

Pada 10 Jun 2019, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengemukakan permohonan rasmi melalui saluran diplomatik kepada kerajaan Malaysia untuk Mun diekstradisi.

Dalam permohonan ekstradisi itu, dinyatakan bahawa Mun adalah penjenayah dalam buruan yang dikehendaki menghadiri perbicaraan di Amerika Syarikat berikutan waran tangkap yang dikeluarkan kepadanya atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen pada 13 Disember 2019, mengeluarkan perintah supaya Mun dihantar ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perintah penyerahan daripada Menteri Dalam Negeri kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Mun kemudiannya memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Disember 2019 untuk memohon dibebaskan daripada tahanan, bagaimanapun ia ditolak oleh mahkamah pada 8 Oktober tahun lalu.

Mun memfailkan rayuan terhadap keputusan habeas corpus itu di Mahkamah Persekutuan namun rayuannya ditolak pada 9 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:48 PM