NOLEE Ashilin pada sidang media sempena Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
NOLEE Ashilin pada sidang media sempena Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) kini berusaha menaiktaraf infrastruktur Portal U-Pustaka bagi memudahkan akses pangkalan data secara percuma sekali gus menggalakkan minat orang ramai untuk membaca.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, setakat ini sebanyak 15 pangkalan data yang memiliki kira-kira dua juta bahan bacaan di seluruh negara dapat diakses secara atas talian melalui portal berkenaan.

"Kita memang ada pengurangan dari segi pengunjung, tetapi ada banyak memohon bacaan secara dalam talian, jadi mereka akan dapat bahan bacaan secara percuma melalui pangkalan data yang dibayar oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Jadi, kita dalam usaha untuk menaiktaraf dari segi pangkalan data atau pembacaan secara atas talian di PPANPk ini agar orang ramai dapat mengakses secara percuma dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Jom Baca bersama Untuk 10 Minit di PPANPK, di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya sudah menguar-uarkan termasuk mengadakan kempen berhubung penggunaan pangkalan data terbabit dengan mengadakan kursus secara maya.

"Dalam tempoh pandemik ini, semua perpustakaan termasuk PPANPk berusaha untuk memperkenalkan apakah pangkalan data yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada masyarakat, " katanya.

Berkenaan program itu, katanya, ia diadakan serentak di seluruh negara dengan menjayakan sesi membaca serentak selama 10 minit pada 11 pagi tadi.

"Pada tahun lalu, program ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan pandemik Covid-19 tetapi tetapi ia masih lagi dijalankan secara maya dan berjaya mensasarkan 100,000 orang yang turut serta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 4:51 PM