MOHD Azizi menunjukkan cara melayari perpustakaan digital. FOTO Nor Amalina Alias.
MOHD Azizi menunjukkan cara melayari perpustakaan digital. FOTO Nor Amalina Alias.
Nor Amalina Alias


SEBELUM ini orang ramai perlu ke perpustakaan untuk mencari bahan bacaan atau rujukan, kini mereka dapat menikmati kemudahan sama menerusi perpustakaan digital

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK).

Pengarah PPAK, Ruslan Ludin berkata, perpustakaan digital itu dibangunkan sejak 2018 dan kini mempunyai lebih 25,000 pelayar.

“Sehingga kini, kita menyediakan lebih 400,000 koleksi dalam talian, dengan 20 pangkalan data yang menyediakan bahan bacaan tanpa had.

“Selain itu, perpustakaan digital ini juga mempunyai sembilan kategori bahan bacaan berunsur multimedia dan interaktif seperti buku audio, Akta dan Perundangan, e-berita, e-majalah, e-surat khabar, e-jurnal, e-rujukan, e-belajar dan e-buku bagi mencari bahan rujukan serta sumber tepat untuk masyarakat membuat kajian, kerja sekolah, tesis dan rujukan lain,” katanya ketika ditemui di PPAK, Kota Bahru.

Turut hadir Timbalan Pengarah PPAK, Mohd Azizi Zainudin

Ruslan berkata, orang ramai hanya perlu mendaftar di laman sesawang http://www u-pustaka.gov.my untuk melayarinya.

Menurutnya, kemudahan perpustakaan digital itu adalah nilai tambah dilakukan pihaknya dalam mencambahkan minat masyarakat terhadap perpustakaan.

“Dari Januari hingga November tahun lalu, kita merekodkan kedatangan 150,000 pengunjung dengan lebih 1,000 aktiviti diadakan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, di PPAK terdapat 500,000 bahan bercetak yang disediakan di tiga tingkat bangunan itu.

“Kita mampu menampung 1,500 pengunjung pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan seperti WiFi dan Internet percuma.

“Selain itu, terdapat juga ruangan koleksi Kelantan menempatkan rujukan khas berkenaan negeri ini termasuk Majalah Pengasuh yang diterbitkan pada 1930, akhbar dan jurnal,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini PPAK dikendalikan 130 kaki tangan dan menyelenggara 37 perpustakaan desa, tujuh perpustakaan cawangan dan satu perpustakaan komuniti di Pasaraya AEON Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 8:29 PM