GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki yang menyamar peguam Istana Diraja Johor dan memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dato Onn, Larkin di sini pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan jam 9.40 pagi, susulan laporan polis dibuat 31 Mac 2011 berkaitan satu kes penipuan menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor.

Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

"Suspek memperdaya sebuah syarikat pengiklanan menyebabkan sejumlah wang RM185,062.50 dibayar kepadanya bagi pembayaran caj pemasangan papan iklan di kawasan konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

"Semakan rekod juga mendapati suspek pernah disabitkan atas beberapa kesalahan lain iaitu pecah amanah jenayah, penggubahan wang haram dan kesalahan di bawah akta syarikat.

"Sebelum ini, terdapat kes dua ahli perniagaan turut dituduh kerana mengaku sebagai kerabat Diraja Johor dengan melakukan penipuan menawarkan projek pembersihan tanah tidak wujud bernilai RM2.45 juta di mukim Sekakap, Mersing, pada Januari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak pihak tertentu mendakwa kononnya mempunyai hubungan rapat dengan pihak Istana Johor atau kerabat Diraja Johor untuk tujuan menipu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar tanpa usul periksa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:51 PM