FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Pegawai berusia 40 tahun itu yang dikatakan baru melapor diri sebagai ketua bahagian di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah pada Januari lalu ditahan pasukan kontinjen Johor, jam 11.30 pagi, semalam.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pegawai kanan terbabit dari kontinjen Kuala Lumpur.

"Seorang pegawai kontinjen ini ditahan bagi membantu siasatan kes Nicky," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky yang didalangi Nicky Liow yang juga Pengasas Winner Dynasty Group pada 20 hingga 28 Mac lalu.

Susulan itu, beberapa pegawai dan anggota polis yang dipercayai bersekongkol dengan Geng Nicky dipanggil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:37 PM