ABDUL Majid mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Mydin MITC Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri
ABDUL Majid mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Mydin MITC Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Polis Melaka tidak akan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, selain tidak akan berkompromi pihaknya, juga sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam memberi maklumat.

"Sebagaimana ditetapkan sebagai Ketua Polis... saya tidak akan melindungi pegawai dan anggota bertugas di Melaka yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang mahupun sindiket rentas sempadan.

"Malah saya akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan khususnya Polis Kontinjen Johor yang mengetuai operasi ini," katanya selepas Program Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Sambutan Hari Polis Ke 214 di sini, tadi.

Terdahulu, beliau mengesahkan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan berusia 43 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ditahan menerusi Op Pelican 3.0 dipercayai terbabit dengan Geng Nicky.

"Memang ada tangkapan dan saya sahkan bagaimanapun perkembangan siasatan dan apa yang berlaku selepas ini di bawah bidang kuasa Polis Kontinjen Johor," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan, seramai 12 pegawai agensi penguat kuasa ditahan menerusi Op Pelican 3.0 dipercayai terbabit kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Nicky.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 49 tahun, dengan dua daripadanya adalah daripada agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:04 PM