Pegawai MDPT ketika meninjau aktiviti pembersihan dan baik pulih bumbung di tapak baharu bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang. FOTO Ihsan MDPT
Pegawai MDPT ketika meninjau aktiviti pembersihan dan baik pulih bumbung di tapak baharu bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang. FOTO Ihsan MDPT
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang yang diarahkan ditutup pada Khamis lalu akan beroperasi semula di tapak baharu yang terletak kira-kira 200 meter dari tapak lama, esok.

Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata, tapak baharu bazar berkenaan lebih luas dan selesa serta mempunyai tempat letak kereta mencukupi.

Katanya, tapak bazar baharu itu juga mempunyai kemudahan lebih baik kerana memiliki bangunan berbumbung bagi membolehkan peniaga berniaga dengan selesa.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang membiayai kos membaik pulih bangunan berbumbung untuk keselesaan peniaga dan pengunjung.

"Saya sudah meninjau kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih bumbung itu, pagi tadi. Kos sewaan tapak bazar milik individu akan dibayar oleh MDPT," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Md Shuhaime menasihatkan peniaga dan pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, MDPT tidak teragak agak untuk menutup bazar itu buat kali kedua sekiranya peniaga dan pengunjung tidak mematuhi SOP.

"Dalam perjumpaan dengan peniaga dan penganjur sebelum ini, mereka berjanji akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Saya harap mereka menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan saling mengingati mengenai SOP," katanya.

Pada Rabu lalu, media melaporkan bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang menjadi bazar pertama di Kedah diarah tutup selepas MDPT mengesan ketidakpatuhan arahan SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 4:45 PM