GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mary Victoria Dass dan Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) Kamalludin Jamal, meminta orang ramai serta peniaga di bazar Ramadan di daerah ini supaya tidak mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.

Ia berikutan isu kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan peniaga dan pengunjung yang bersesak di bazar Ramadan.

Kamalludin berkata, pematuhan SOP bergantung sepenuhnya atas kesedaran diri sendiri individu dan pihaknya akan sedaya upaya membuat pemantauan dan kawalan dari semasa ke semasa.

"MPBP sudah memaklumkan kepada peniaga di bazar Ramadan melalui program Taklimat Bersama Peniaga Bazar Ramadan pada 7 April lalu, dan panel jemputan adalah pegawai Pejabat Kesihatan Daerah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi penerangan khusus terhadap pematuhan SOP selain jenis-jenis kesalahan yang boleh dikompaun.

"MPBP juga membuat edaran notis kepada peniaga berkaitan SOP bazar Ramadan selain mendapatkan bantuan dan kerjasama pihak Rela bagi mengawal pengunjung.

"Operasi bersepadu bersama Pejabat Kesihatan dan PDRM di bazar Ramadan juga akan dijalankan," katanya dihubungi hari ini.

Kamalludin juga tidak menolak kemungkinan akan membatalkan bazar Ramadan sekiranya terdapat penularan Covid-19 di lokasi berkenaan.

"Ianya atas kuasa Yang DiPertua bagi menghentikan atau menutup operasi bazar Ramadan. Tempoh penutupan operasi itu pula tertakluk kepada penilaian risiko yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya.

Menurut beliau, jika berlaku perlanggaran SOP, kompaun RM1,000 akan dikenakan selain permit atau lesen peniaga boleh dibatalkan.

Kamalludin berkata, 562 peniaga bazar Ramadan berdaftar pada tahun ini berbanding 726 peniaga sebelum Covid-19 melanda.

"Kami hanya membenarkan pembukaan bazar Ramadan di 13 lokasi berbanding 17 lokasi sebelum ini.

"Jumlah petak disediakan ialah 635 berbanding 827 sebelum ini," katanya.

Di Johor Bahru, jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, operasi bazar Ramadan hanya boleh dihenti atau ditutup melalui penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di lokasi berkaitan.

"PKD akan menilai jika sesebuah lokasi bazar Ramadan dikenal-pasti berlaku penularan Covid-19.

"Sebagai langkah keselamatan, warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan mengunjungi bazar Ramadan," katanya.

Pada masa sama, menurutnya, kegagalan mematuhi SOP ditetapkan di bazar Ramadan boleh mengakibatkan penganjuran bazar ditamatkan atau dibatalkan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

"Penganjur perlu menghadkan jumlah kemasukan pengunjung pada satu-satu masa bagi mengekalkan penjarakan sosial.

"Peniaga pula dilarang meletakkan barangan jualan di laluan awam yang boleh menyebabkan kesukaran penjarakan sosial," katanya.

Jurucakap berkata, sehingga kini, 2,818 petak dibuka di bazar Ramadan di 54 lokasi di kawasan di bawah seliaan MBJB.

"Sesetengah bazar dianjurkan termasuk dengan kerjasama Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB), swasta dan jawatankuasa penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengerusi YBJB Mazlan Bujang berkata, antara SOP ditetapkan termasuk jarak antara khemah ialah satu hingga 1.5 meter.

"Tahun ini, kami juga mengurangkan bilangan peniaga berbanding sebelumnya sebagai langkah keselamatan.

"Contoh, sekiranya 40 peniaga memohon, kami akan membenarkan 20 saja beroperasi.

"Sebagai penganjur, kami bertanggungjawab menasihati peniaga dan pengunjung untuk sentiasa mematuhi SOP," katanya.

Masa operasi bazar Ramadan pula antara jam 3 petang hingga 8 malam manakala bazar Aidilfitri antara jam 10 pagi hingga jam 12 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:27 PM