GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Enam tapak pembinaan projek perumahan di Sungai Petani diarah tutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu susulan arahan penutupan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Terdapat 55 kes positif di dalam kawasan tersebut berpunca daripada pekerja warga asing.

"Projek tersebut didapati mempunyai kelulusan beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penginapan pekerja," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, arahan penutupan serta merta tapak projek perumahan itu dibuat menerusi dua notis, N2/2015 dan N3E/2021.

Pada masa sama, menurut CIDB, sebanyak 228 tapak pembinaan di seluruh negara ditutup sejak 1 Jun sehingga semalam, kerana kesalahan sama.

"Sebanyak 7,939 tapak pembinaan diperiksa dan daripada jumlah itu 3,762 (47 peratus) sedang beroperasi, manakala 4,177 (53 peratus) menutup operasi.

"Daripada 3,762 tapak beroperasi, 228 (enam peratus) tidak mematuhi SOP dan diarahkan tutup, manakala 3,534 (94 peratus) lagi mematuhi SOP," kata kenyataan itu.

Menurut agensi itu, daripada 228 tapak pembinaan yang masih ditutup, 56 letak di Sarawak; Selangor (51); Kuala Lumpur (26); Melaka (24); Johor (22); Sabah (13); Pahang (sembilan); Pulau Pinang dan Kedah (tujuh); Perak (lima); Sembilan dan Terengganu (empat).

"Manakala 130 tapak yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP membabitkan Sarawak (39); Melaka (19); Selangor (18); Pulau Pinang (12); Perak (12); Terengganu (lapan), Kelantan (lima); Negeri Sembilan dan Kedah (empat); Perlis dan Kuala Lumpur (tiga) dan Johor (dua).

"Kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 atau undang-undang bertulis lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) serta Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990), juga boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor," kata agensi itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 3:44 PM