GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol saudara perempuannya di dalam pondok kebun kelapa sawit.

Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Kuala Nerus antara jam 2.30 pagi hingga 4 pagi, 4 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:40 PM