Amir Mamat


Melaka: Pemberikan vaksin Covid-19 fasa pertama dijangka selesai menjelang akhir bulan ini selepas baki jumlah petugas barisan hadapan menerima suntikan kedua.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini, kira-kira 95 peratus petugas barisan hadapan selesai menerima dos pertama bagi suntikan fasa pertama.

Beliau berkata, program bagi fasa pertama itu membabitkan 571,000 petugas barisan hadapan dan ia masih berjalan serta menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan kedua.

Justeru, katanya, beliau menjangkakan semua petugas barisan hadapan itu akan melengkapkan kedua-dua dos vaksin, sekali gus menamatkan program fasa pertama itu selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

"Di Melaka, contohnya, Pengarah Kesihatan negeri (Datuk Dr Ismail Ali) memaklumkan kepada saya, masih ramai lagi petugas barisan hadapan di Melaka yang masih menerima suntikan dos pertama vaksin, namun saya yakin menjelang akhir bulan ini semuanya selesai," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Dr Ismail.

KHAIRY (berdiri, tiga kiri) ketika lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Tun Ali, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
KHAIRY (berdiri, tiga kiri) ketika lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Tun Ali, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) masih menunggu senarai nama guru di sektor pendidikan awam dan swasta daripada Kementerian Pendidikan bagi suntikan fasa kedua vaksin yang bermula semalam.

Katanya, beliau sudah meminta senarai nama beserta kad pengenalan semua guru di sekolah pendidikan awam mahupun swasta serta sekolah antarabangsa.

"Kita cuba untuk memberi keutamaan kepada golongan pendidik itu bersama kumpulan warga emas bagi fasa kedua ini, jadi saya masih menunggu senarai itu daripada Kementerian Pendidikan," katanya.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, lebih 500,000 guru di sektor pendidikan awam dan swasta akan disenaraikan sebagai penerima vaksin dalam fasa dua program berkenaan yang bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 3:20 PM