Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diminta untuk menyediakan senarai nama guru yang berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 bagi menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan bagi pengambilan vaksin daripada kumpulan tertentu termasuk pendidik.

"Permohonan itu dilihat munasabah memandangkan sekolah akan dibuka semula pada Mac nanti.

"Namun, kita berdepan kekangan kerana bekalan vaksin pada fasa pertama hanya kira-kira satu juta dengan sebahagian pendaftaran membabitkan 500,000 barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

"Namun, kita akan minta KPM untuk menyenaraikan penerima yang diberi keutamaan dalam kalangan guru yang berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 (untuk menerima vaksin dalam fasa pertama)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, pihaknya akan cuba memperuntukkan vaksin fasa pertama kepada golongan itu selain sebahagian untuk petugas media.

"Namun, itu semua bergantung kepada situasi serta bekalan. Tidak semua guru boleh menerima vaksin dalam fasa pertama ini.

"Disebabkan itu, kita minta KPM memberi senarai terbabit supaya mereka diberi keutamaan menerima vaksin menjelang pembukaan sekolah pada Mac nanti," katanya.

Pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi livery Jalur Gemilang tiba dengan membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Pesawat berkenaan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk penghantaran pertama ke Malaysia. FOTO BERNAMA
Pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi livery Jalur Gemilang tiba dengan membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Pesawat berkenaan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk penghantaran pertama ke Malaysia. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 1:47 PM