GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpulkan senarai guru swasta dan kerajaan yang bakal dimasukkan sebagai penerima Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan, senarai guru yang dikenal pasti itu akan diberikan tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan pelalian masing-masing.

Bagaimanapun katanya, pemberian vaksin kepada golongan pendidik akan turut bergantung kepada jumlah bekalan semasa pelalian yang ada di Malaysia.

"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) putuskan supaya guru diberi keutamaan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan komorbid dalam PICK fasa kedua. Terdapat sekitar 500,000 guru di sektor swasta dan awam di seluruh negara.

"Ia selaras risiko kebarangkalian jangkitan, terutama di sekolah yang sudah mula di buka di seluruh negara. Justeru apabila ada kemampuan (bekalan vaksin), kita akan mula berikan suntikan pelalian kepada mereka.

"Bagi 54,537 guru yang disenarai dalam PICK fasa pertama kerana mempunyai penyakit kronik atau komobid, seramai 11,902 sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin.

"Selebihnya akan menerima suntikan mereka dalam bulan ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di sini, tadi.

Mengulas perkembangan PICK fasa kedua, Khairy berkata, seramai 1,438,974 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas setakat ini berdaftar bagi menerima suntikan vaksin, manakala OKU (136,798 orang) dan komorbiditi (2,029,297 orang).

Beliau menjelaskan PICK fasa kedua bermula secara berperingkat dengan 30 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka hari ini di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Seramai 9,916 dijadualkan menerima suntikan vaksin pada hari ini. Dewan 2020 di Perlis menyaksikan kumpulan terbesar diberikan suntikan vaksin hari ini iaitu seramai 924 orang.

"Pelaksanaan PICK fasa satu masih diteruskan untuk 258,783 petugas barisan hadapan yang kebanyakannya ialah untuk melengkapkan suntikan dos kedua mereka. Negeri-negeri seperti Selangor masih menghabiskan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Ditanya mengapa PICK fasa kedua tidak dijalankan di Selangor, Khairy berkata ia akan mula dilaksanakan pada 26 April ini, memandangkan segelintir petugas barisan hadapan di negeri berkenaan masih dalam proses melengkapkan dos suntikan vaksin masing-masing.

Selain itu, katanya, seramai 888 pesakit dirancang diberikan suntikan pelalian di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPVK) dekat 14 hospital, merangkumi tujuh negeri semalam.

"Kumpulan pesakit yang diberikan di hospital, dekat PPVK ini membabitkan empat kategori, iaitu mempunyai sejarah alergi tertentu, tetapi boleh terima vaksin, sistem pertahanan badan lemah, berisiko mengalami pendarahan akibat penyakit atau ubat tertentu dan pesakit kronik, ibu mengandung di hospital," katanya.

Menyentuh usaha menggalakkan pendaftaran menerusi kunjungan dari rumah ke rumah, Khairy berkata program berkenaan sedang dilaksanakan hasil kerjasama dengan pelbagai pihak serta agensi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:15 PM