Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kesemua 571,802 petugas barisan hadapan yang disenaraikan untuk mendapat vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal menerima dos pertama mereka menjelang akhir bulan ini.

Selain itu, lebih 10 peratus daripada populasi Malaysia juga sudah mendaftar dalam PICK setakat hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, 3,658,538 daripada 3,832,976 yang sudah mendaftar berbuat demikian menggunakan aplikasi MySejahtera; 173,575 melalui laman sesawang www.vaksincovid.gov.my manakala 863 lagi melalui talian 'hotline' yang mula beroperasi pada 5 Mac lalu.

Beliau berkata, seramai 139,720 penerima sudah mendapat dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini dan seramai 221,819 daripada mereka yang mendaftar sudah mendapat tarikh temujanji bagi mendapatkan vaksin untuk fasa pertama PICK.

"Saya juga ingin memberitahu, kita sudah menerima sebanyak 86,775 bebuli vaksin Pfizer - BioNTech, bersamaan dengan 520,650 dos setakat ini.

"Lima daerah yang paling tinggi sudah menjalankan pemberian vaksin Covid-19 setakat ini ialah Kuala Lumpur, kerana ia tidak mempunyai daerah, Kota Bharu, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu manakala negeri tertinggi sudah menjalankan program vaksinasi ialah Sarawak sebanyak 22,140; Pahang (14,473); Selangor (12,336); Kelantan (11,927) dan Sabah (11,739).

"Untuk pelalian fasa pertama, kita yakin bahawa 571,802 petugas barisan hadapan yang sudah disenaraikan dalam fasa pertama akan mendapat dos pertama pada akhir Mac," katanya pada sidang media mingguan PICk, di sini, hari ini.

Sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom.

SEORANG petugas kesihatan mengambil dos suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. FOTO arkib NSTP
SEORANG petugas kesihatan mengambil dos suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. FOTO arkib NSTP

Pada masa sama, Khairy berkata, kerajaan berharap pendaftaran bagi mendapatkan vaksin Covid-19 akan melebihi 5 juta dalam tempoh dua minggu lagi terutama selepas aplikasi MySejahtera mempunyai fungsi untuk mendaftarkan tanggungan termasuk ibu bapa bermula 12 Mac ini.

Berhubung isu sama ada petugas media yang berisiko tinggi akan memperoleh vaksin pada fasa pertama PICK, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) belum menyenaraikan pengamal media sebagai penerima ketika ini.

Pun begitu, katanya, jika ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara berkenaan pada mesyuarat jawatankuasa itu pada Khamis ini, ia akan dimaklumkan kemudian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:23 PM