Jururawat memberi suntikan vaksin  sebahagian daripada 100 orang kumpulan pertama secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) covid-19 Daerah Kinta, di Perkarangan Stadium Indera Mulia. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Jururawat memberi suntikan vaksin sebahagian daripada 100 orang kumpulan pertama secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) covid-19 Daerah Kinta, di Perkarangan Stadium Indera Mulia. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini, beroperasi secara rasmi hari ini dan 100 individu menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah penerima dijangka bertambah hasil peningkatan kemahiran pasukan pengendali urusan pemvaksinan berkenaan.

Menurut beliau, pemantauan dan sokongan berterusan daripada Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Negeri Perak serta pasukan petugas yang semakin mahir merupakan kekuatan untuk menambah perkhidmatan pandu lalu di PPV SIM.

"Kemampuan pasukan mengendalikan kaedah baru pemberian vaksin melalui pandu lalu akan diuji secara berfasa dan ketika ini, perkhidmatan pandu lalu dihadkan untuk penerima vaksin dos kedua sahaja kerana ia membabitkan proses lebih ringkas.

"Pertambahan kaunter pandu lalu itu juga dijangka akan dapat menambah bilangan penerima vaksin di PPV SIM iaitu sehingga 2,500 orang sehari," katanya pada sidang media selepas meninjau operasi hari pertama PPV pandu lalu berkenaan.

Saarani berkata, inisiatif PPV pandu lalu adalah satu daripada lima inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat.

"Idea menyediakan perkhidmatan pandu lalu tercetus bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian di sepanjang proses penerimaan vaksin.

"Ia cepat dan mudah. Proses yang perlu mereka lalui bermula daripada pintu A dan berakhir di pintu B.

"Saya lihat tadi (semalam), ia berjalan lancar, terdapat dua laluan yang mempercepatkan proses suntikan," katanya.

Beliau berkata, langkah ini juga diambil sebagai persediaan untuk menghadapi fasa akan datang yang menawarkan vaksin kepada golongan di bawah 60 tahun.

"Saya yakin semua pihak akan terus berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi menjayakan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan mengkaji kesesuaian perkhidmatan itu untuk dikembangkan ke daerah lain bagi kemudahan orang ramai menerima suntikan vaksin.

"Selain itu, kita juga akan mengkaji kemungkinan kaedah ini dilaksanakan bagi suntikan dos pertama.

"Bagi dos pertama, ia perlukan masa agak panjang sedikit. Kawasan juga perlu lebih luas jika lebih banyak 'checkpoint' perlu dilalui," katanya.

Menurut Saarani, pihaknya juga sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan PPV pandu lalu kedua di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPV SIM yang mula operasi pada Februari lalu menerima peningkatan jumlah penerima vaksin bermula dengan 250 penerima sehari dan meningkat secara berperingkat sehingga pernah mencecah 1,900 orang penerima sehari.

"Perkembangan jumlah penerima vaksin ini seiring dengan pertambahan jumlah petugas yang ditempatkan di PPV SIM. Jumlah vaksinator bermula dengan enam orang dan kini bertambah kepada 24 orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 8:52 PM