Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Seorang warga emas menjadikan kerusi roda sebagai teman meneruskan kelangsungan hidup selepas kedua-dua belah kakinya dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Lebih menyedihkan, Husin Ibrahim, 66, terpaksa menguruskan diri sendiri termasuk membasuh pakaian dan memasak selepas isterinya, Rahimah Othman meninggal dunia tiga tahun lalu disebabkan penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Katanya, dia sebelum ini menjual ikan untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun terpaksa berhenti untuk menjaga arwah isterinya yang sakit.

Bagaimanapun, selepas arwah isterinya meninggal, dia sekali lagi diuji selepas kakinya dipotong akibat komplikasi kencing manis yang dideritai sejak tujuh tahun lalu.

"Pada 2019, kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga paras betis disebabkan isi daging memburuk sehingga kelihatan kehitaman dan mengeluarkan ulat.

"Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, kaki kanan pula dipotong sehingga paras lutut disebabkan penyakit kencing manis merebak sehingga ke bahagian tulang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Selising, di sini, semalam.

Husin Ibrahim reda hidup tanpa kedua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Husin Ibrahim reda hidup tanpa kedua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Terdahulu, Husin menerima kunjungan Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang, Kamarudin Ab Kadir.

Husin berkata, dia reda dengan ujian menimpanya dan belajar hidup dengan kedua-dua kaki kudung manakala mata kirinya turut kabur.

"Bagi meneruskan kehidupan, saya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 selain wang simpanan.

"Namun ada ketikanya, anak saudara serta saudara mara dan jiran tetangga menghulurkan makanan kerana memahami pergerakan saya agak terbatas.

"Saya tak tahu apa kesudahan nasib dan dalam masa sama, hati mudah tersentuh apabila mengenangkan saat masih berupaya mampu bergerak ke sana ke mari, tetapi sekarang hanya bergerak di dalam rumah menggunakan kerusi roda," katanya yang tidak dikurniakan cahaya mata.

Husin berkata, dia mengalukan mana-mana individu yang mahu menyumbangkan kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakan rutin hariannya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Husin di talian 010-5700759.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:45 PM