Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara meraikan Sambutan Hari Polis ke-214 hari ini dengan merealisasikan impian seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap leukemia tahap empat untuk menaiki MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai impian Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri, 6, yang berhajat untuk menaiki MPV berikutan dia begitu berminat dengan profesion berkenaan.

"Sempena Hari Polis ini, kami penuhi impian Muhammad Firash Arryan. Kami bawanya menaiki MPV mengelilingi kawasan sekitar ini.

"Raut wajah Muhammad Firash Arryan cukup menunjukkan yang dia cukup gembira. Kami bangga kerana dapat memberi sedikit kebahagiaan kepadanya.

"Pada masa sama, kami juga bangga dapat membantu masyarakat dalam membanteras jenayah," katanya ditemui.

Sementara itu, ibu Muhammad Firash Arryan, Aida Royani Abdul Razak, 30, berkata, sejak semalam, anaknya meluahkan rasa teruja untuk bertemu anggota serta pegawai polis selain tidak sabar untuk menaiki MPV.

"Muhammad Firash Arryan cukup berminat dengan bidang kepolisan dan dia cukup teruja apabila tahu akan dibawa menaiki MPV.

"Hari ini, Muhammad Firash Arryan asyik tersenyum. Saya dan suami cukup bersyukur dengan rezeki ini.

"Terima kasih kepada warga PDRM, khasnya warga IPD Seberang Perai Utara yang menunaikan hajatnya walaupun sibuk bertugas. Hanya Allah SWT yang mampu membalas budi baik anda semua," katanya yang menemani Muhammad Firash Arryan menaiki MPV berkenaan bersama suaminya, Muhammad Yusri Dani, 31.

Muhammad Firash Arryan disahkan menghidap leukemia pada awal 2019 dan kini, ia mula merebak ke tulang dan otaknya.

Doktor turut memaklumkan yang hati dan limpa Muhammad Firash Arryan sudah membengkak selain turut mengalami pendarahan usus selain lapisan bawah kulit lebam.

NOORZAINY meriba Muhammad Firash Arryan yang menghidap penyakit leukemia menaiki kereta peronda polis (MPV) pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 peringkat IPD Seberang Perai Utara. FOTO Danial Saad
NOORZAINY meriba Muhammad Firash Arryan yang menghidap penyakit leukemia menaiki kereta peronda polis (MPV) pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 peringkat IPD Seberang Perai Utara. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 4:33 PM