Orang ramai membeli ayam di Pasar Besar Seremban. Mohamad Yusoff (kiri). NSTP/MOHD AMIN JALIL.
Orang ramai membeli ayam di Pasar Besar Seremban. Mohamad Yusoff (kiri). NSTP/MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil

Seremban: "Sebelum ini ayam dijual pada harga RM6.90 sekilogram (kg) tetapi sekarang mencecah RM9.50 sekilogram," ujar Pengerusi

Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Seremban, Mohamad Yusoff.

Susulan itu beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dalam membendung kenaikan harga ayam yang dilihat melampau ketika ini.

Antara tindakan yang dilihat sesuai adalah menetapkan harga siling ayam lebih awal sebagai langkah mengelak dan mengawal kegiatan manipulasi oleh pihak tertentu terutama pembekal atau pengeluar ayam.

Katanya, sejak sebelum Ramadan sehingga kini, kenaikan harga ayam berlaku setiap hari mencecah kenaikan lebih 30 peratus.

"Sebelum ini ayam dijual pada harga RM6.90 sekilogram (kg) tetapi sekarang mencecah RM9.50 sekilogram.

"Daripada aduan ramai pengguna dan tinjauan yang kami lakukan, harga ayam di sekitar daerah Seremban sudah naik sehingga 30 peratus dan ia seolah-olah tiada kawalan daripada pihak berkuasa berkaitan.

"Alasan bahawa kenaikan itu berpunca daripada harga makanan ayam dan permintaan yang meningkat ketika Ramadan adalah tidak munasabah kerana kenaikan harga ayam ini berlaku setiap kali menjelang musim perayaan.

"Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna (KPDNHEP) diharap dapat mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah ini untuk kepentingan pengguna," katanya tadi.

Beliau berkata, KPDNHEP perlu menetapkan harga siling ayam lebih awal kerana ia dilihat sebagai langkah terbaik dalam mengawal keadaan harga berkenaan.

"Kami tidak menolak kenaikan ini mungkin berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil untung berlebihan," katanya.

Bagaimanapun tindakan itu katanya, memberi kesan kepada ramai pengguna terutama golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana.

Mohamad Yusoff berkata, pihak berkuasa tempatan negeri perlu turun padang melihat keadaan sebenarnya yang berlaku terhadap harga ayam yang naik secara mendadak dan membebankan pengguna.

"Ahli kami akan terus memantau dan merekodkan setiap aduan awam mengenai perkara ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat dilakukan terutama membawa perkara itu ke peringkat pihak berkuasa," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa harga ayam segar di negeri ini masih di paras stabil walaupun dilaporkan ada berlaku peningkatan.

Beliau berkata, harga ayam memang agak tinggi ketika ini mungkin disebabkan bekalan yang berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:07 PM