Ain Arjuna Aziz Zaman membuat pemeriksaan harga ayam di Pasar Awam Kuala Pilah, pagi tadi.
Ain Arjuna Aziz Zaman membuat pemeriksaan harga ayam di Pasar Awam Kuala Pilah, pagi tadi.
Oleh Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan 24 notis melalui Ops Catut 8.0 susulan kenaikan harga ayam yang berlaku ketika ini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang dikeluarkan sejak 8 September lalu itu bertujuan mendapatkan maklumat harga jualan, kos dan peratus margin harga ayam untuk tempoh tertentu bagi 2020 dan 2021.

"Hasil analisis awal daripada Ops Catut 8.0 ini, kami mendapati, kenaikan harga jualan ayam bersih standard dipengaruhi faktor peningkatan kos bagi dedak ayam diperingkat pengeluar.

"Siasatan dan analisa harga akan terus dijalankan bagi setiap notis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 dan tindakan akan diambil sekiranya mendapati ada peniaga yang menaikkan harga ayam di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai operasi pemantauan di peringkat rantaian pembekal ayam Ops Catut 8.0 di Pasar Awam Kuala Pilah pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya mendapati, kenaikan harga jualan harga ayam standard melebihi RM9 satu kilogram (kg) berlaku sejak minggu ke lima Ogos lalu.

"Harga tertinggi yang direkodkan dalam tempoh itu berlaku di Pasar Besar Tampin dan Pasar Awam Johol dengan harga jualan RM9.50 sekilogram, manakala tujuh pasar awam lain mencatatkan harga jualan RM9 hingga RM9.20 sekilogram.

"Sehingga Isnin lalu, harga jualan ayam bersih standard di pasar awam di negeri ini mencatatkan harga tertinggi iaitu RM10.50 sekilogram di Pasar Seremban dan Pasar Ampangan.

"Malah, kenaikan harga ayam turut direkodkan di pasar raya besar dan pasar raya. Harga ayam tertinggi direkodkan di sebuah pasar raya di Bahau dengan harga jualan RM9.50 sekilogram," katanya.

Tambah beliau, untuk mengelakkan daripada berlaku kenaikan harga secara berterusan, pihaknya menjalankan pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam membabitkan pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit ayam mengikut AKHAP 2011 bermula 8 September lalu hingga 22 September ini.

Pengguna disaran menggunakan aplikasi 'price catcher' bagi membuat perbandingan harga barang keperluan termasuk ayam.

Aduan juga boleh disalurkan ke https://eaduan.kpdnhep.gov.my dan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:14 PM