YOUSRY (dua kana) menunjukkan lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Satang, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
YOUSRY (dua kana) menunjukkan lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Satang, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang wanita hilang ketika melakukan aktiviti selaman rekreasi di perairan Pulau Satang, di sini, petang semalam.

Kehilangan Chong Su Sian, 31, disedari rakan-rakannya apabila dia tidak muncul di permukaan kira-kira satu jam dua puluh minit selepas melakukan selaman solo pada jam 4 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Kepten Maritim Yousry Yaali berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima maklumat mengenai kejadian daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak melalui panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 8 malam tadi.

Berikutan itu katanya MRSC Kuching mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada jam 9 malam.

"Operasi itu membabitkan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pencarian tertumpu di radius dua batu nautika dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya pada sidang media di jeti awam Telaga Air, di sini, hari ini.

Yousry berkata, mangsa dikatakan bersama lima individu termasuk adiknya menyertai aktiviti menyelam di laut di kedudukan jarak kira-kira 23 batu nautika utara Pulau Satang.

"Selepas melakukan selaman pertama bersama dua penyelam lelaki, mangsa dikatakan menyelam semula dan kali kedua itu dia sendirian.

"Selepas lebih sejam, mangsa tidak muncul di permukaan dan adiknya serta rakan penyelam yang lain cuba mencari di sekitar tempat mangsa dipercayai hilang, namun tiada sebarang petunjuk ditemui," katanya.

Katanya lagi, adik mangsa turut memaklumkan bahawa mereka ada terdengar bunyi wisel tetapi tidak dapat mengesan dari mana arah bunyi itu.

"Mangsa dan rakan biasa melakukan aktiviti selaman rekreasi dan mereka mempunyai sijil kemahiran untuk aktiviti menyelam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 5:09 PM