Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah memohon supaya petugas media turut diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin pada Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Malah, menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata beliau sendiri menangguhkan pengambilan vaksin untuk bersama-sama petugas media mendapatkannya.

"Saya menangguhkan pengambilan vaksin kerana saya mahu mengambil vaksin bersama media. Tunggu giliran lah sama-sama.

"Maknanya bila saya dapat tu media pun dapat lah... Fasa dua Insya-Allah," katanya kepada pemberita, hari ini.

KKMM memohon supaya petugas media turut diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin  pada Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
KKMM memohon supaya petugas media turut diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin pada Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Saifuddin berkata, pihaknya memohon supaya pemberian vaksin kepada pengamal media disegerakan berikutan menganggap mereka sebagai petugas barisan hadapan.

Fasa Kedua PICK dijadualkan bermula esok, dengan pemberian vaksin khusus kepada warga emas dan kumpulan rentan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, lapan negeri dan wilayah akan memulakan fasa kedua PICK bermula 19 April ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata negeri dan wilayah berkenaan ialah Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:31 PM