Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemberian vaksin kepada pekerja sektor ekonomi kritikal yang beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mewujudkan fasa keempat iaitu kawalan wabak selepas melihat penularan kes pandemik Covid-19 dalam kalangan sektor industri.

"Memang wujud fasa keempat iaitu fasa kawalan wabak, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) membuat keputusan untuk memulakan pemberian vaksinasi kepada sektor ekonomi yang kritikal terutama bagi sektor yang perlu beroperasi sepanjang SPP.

"Antara sektor terbabit adalah pembuatan, eksport, logistik, tenaga utiliti dan lain-lain.

"Sekarang ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang bekerjasama dengan kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan dan agensi kerajaan lain untuk melaksanakan fasa keempat ini," katanya dalam sidang media mingguan perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

KELIHATAN orang awam hadir untuk menerima suntikan vaksin Sinovac ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin KLCC. FOTO Azhar Ramli
KELIHATAN orang awam hadir untuk menerima suntikan vaksin Sinovac ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin KLCC. FOTO Azhar Ramli

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM), Protecthealth Corporation Sdn Bhd untuk menguruskan pengendalian suntikan bagi fasa empat itu.

"Vaksinasi kepada sektor industri ini bagi mempercepatkan pelaksanaan PICK dalam industri," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, vaksinasi kepada petugas media seperti dijanjikan bermula pada hari ini di Putrajaya.

"Hari ini, 98 pengamal media daripada agensi media tempatan dan antarabangsa sudah mula menerima vaksinasi di Putrajaya.

"Pada masa akan datang, lebih ramai pengamal media seluruh negara akan dapat tarikh temu janji bagi vaksinasi," katanya.

Menurutnya, CITF sedang mendapatkan senarai nama daripada Jabatan Penerangan untuk memastikan petugas media mendapat perlindungan daripada Covid-19 apabila terpaksa menjalankan tugas secara fizikal sewaktu SPP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 4:44 PM