Putrajaya: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan memberi arahan sejumlah pekerja syarikat Genting Group diberikan vaksin Covid-19, seperti yang tular dalam media sosial.
Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, penetapan kumpulan penerima vaksin Fasa 1 PICK dibuat mengikut Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada 1 Mac lalu.
Katanya, janji temu vaksinasi sepanjang tempoh pelaksanaan Fasa 1 PICK pula diuruskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri mengikut senarai yang turut disediakan di peringkat negeri.
"Saya menafikan saya pernah mengeluarkan apa-apa arahan seperti dakwaan itu.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberikan vaksinasi kepada kumpulan penerima lain apabila selesai menjalankan vaksinasi kepada penerima Fasa 1," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, CITF Pahang membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja di sektor pelancongan, membabitkan 56 buah hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat apabila Pahang selesai memberikan vaksinasi dos pertama (sementara menunggu selang masa bagi dos kedua) kepada kesemua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan Fasa 1.
"Pihak CITF Persekutuan hanya mengetahui mengenai keputusan CITF Negeri ini selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan itu.
"Susulan daripada kejadian ini, saya sudah menulis surat kepada Kerajaan Pahang pada 12 April lalu bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah bawah bidang selia JKJAV," katanya.
Beliau berkata, sehingga mana-mana kumpulan turut disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai.