KEBAKARAN lima rumah di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang. FOTO ihsan bomba
KEBAKARAN lima rumah di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Lima rumah dua tingkat di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran dipercayai berlaku ketika waktu solat tarawih.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 9.38 malam dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi pada 9.41 malam.

Beliau berkata, operasi diketuai pegawai bomba, Muhammad Nor Iman Mustafa bersama tujuh anggota dan sebuah jentera.

"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Limau Dalam, Gurun, Guar Chempedak, Padang Lembu, Bedong, Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat," katanya ketika dihubungi.

Fauzi berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan lima buah rumah dua tingkat.

Beliau berkata, api dapat dikawal pada 10 malam.

"Penilaian awal mendapati, kemusnahan akibat kebakaran kelima-lima terbabit adalah hampir 90 peratus rumah berkenaan," katanya.

Fauzi berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 12:43 AM