KEDAI yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan pembaca
KEDAI yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad

TIGA kedai di Arked Tanjung Dawai, Sungai Petani musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, tindakan awal Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Dawai berjaya mengawal api daripada merebak ke keseluruhan kedai satu tingkat berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib, berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan menggerakkan dua jentera pemadam dan mendapat bantuan sebuah jentera lagi dari (BBP) Sungai Petani membabitkan kira-kira 30 anggota.

"Sebaik tiba kita mendapati kebakaran membabitkan kedai membaiki bot, kedai gunting rambut dan kedai telekomunikasi sedang berlaku.

"Ketiga-tiga kedai berkenaan terbakar sebanyak 90 peratus. Kebakaran turut memusnahkan keseluruhan barangan yang terdapat di dalam kedai," katanya ketika dihubungi di Sungai Petani, hari ini.

Fauzi berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku dengan punca dan kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:32 AM