ANGGOTA bomba memeriksa asrama Pondok Maahad Tahfiz Assyatirie yang terbakar. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memeriksa asrama Pondok Maahad Tahfiz Assyatirie yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Seramai 15 pelajar terselamat selepas asrama pondok Maahad Tahfiz Assyatirie dua tingkat di Dulang Besar, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 6.25 petang itu, mangsa terselamat kerana mempunyai aktiviti luar sebelum menyedari asap tebal dari asrama.

Bahagian atas pondok Maahad Tahfiz kelas B itu dijadikan sebagai asrama pelajar manakala tingkat bawah pula dijadikan surau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib berkata, sepasukan anggota dari BBP Yan yang turut dibantu pasukan BBP Guar Chempedak serta dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Padang Lembu dan Guar Chempedak tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi didapati api sedang marak di tingkat atas pondok berkenaan dan operasi pemadaman dilakukan untuk mengelak api terus merebak.

"Api berjaya dikawal pada jam 6.49 petang sebelum dipadam sepenuhnya jam 8.24 malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Fauzi berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, kebakaran di tingkat atas pondok itu membabitkan kemusnahan 80 peratus.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohammad Aliff Haikal Mohd Sofi, 28, berkata, dia menghubungi pihak bomba sejurus ternampak asap tebal bersebelahan rumahnya.

Katanya, api ketika itu semakin marak menyebabkan bahagian atas bangunan itu musnah.

"Mujur semua pelajar pondok itu selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 10:23 PM