Keadaan sebahagian rumah Fauziah yang terbakar. (Gambar kecil) Fauziah Abdullah. FOTO ihsan bomba.
Keadaan sebahagian rumah Fauziah yang terbakar. (Gambar kecil) Fauziah Abdullah. FOTO ihsan bomba.
Nursyazwana Mansor


WARGA emas yang lumpuh separuh badan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Singkir Laut, Yan, terbakar hari ini.

Fauziah Abdullah, 69, disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, ketika kejadian, mangsa yang lumpuh sejak tiga tahun lalu bersendirian di rumah kerana suaminya, Ibrahim Abdul Rahman, 68, keluar membeli barang di kedai berdekatan.

“Sebaik pulang, lelaki itu terkejut melihat kepulan asap keluar daripada rumahnya dan bergegas mengeluarkan isterinya dengan bantuan jiran.

“Mangsa yang diberi rawatan awal oleh kakitangan perubatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan,” katanya.

Menurut Fauzi, pihak menerima panggilan kebakaran 11.40 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi 12 minit kemudian.

“Rumah terbakar kira-kira 90 peratus dan operasi tamat 12.49 tengah hari. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran disertai 13 anggota BBP Yan dan Guar Chempedak serta dibantu 19 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Dawai, Bedong juga Guar Chempedak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 6:02 PM