Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Sebaik tersedar dari pitam, saya terus terjun dari rumah setinggi hampir tiga meter melalui tingkap kerana bimbang rumah akan runtuh," kata mangsa ribut, Sharoni Taslim.

Dalam kejadian 5.15 petang semalam, rumah sewa yang didiami Sharoni, 38, bersama tiga rakannya musnah ditimpa pokok kekabu dalam kejadian ribut.

Sharoni yang juga buruh binaan berkata, sebelum kejadian dia berada di rumah dan sedang berehat di dalam biliknya di Kampung Pintu Geng di sini.

"Ketika itu hujan memang lebat dan angin pun kuat menyebabkan saya berasa bimbang lebih-lebih lagi bumbung zink asyik bergegar serta berbunyi bising.

"Saya keluar dari bilik dan tiba-tiba pokok kekabu tumbang menghempap bahagian tengah rumah dan ketika cuba melarikan diri, dinding kayu terhentak kepala menyebabkan saya pitam.

"Sebaik sedar saya terus terjun melalui tingkap setinggi hampir tiga meter kerana keadaan dalam rumah sudah musnah dan hujan masih lagi lebat serta angin kencang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sharoni berkata, mereka berempat tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa meminta bantuan rakan untuk menghubungi isteri di Surabaya, Indonesia bagi memaklumkan keadaannya yang selamat.

Dalam kejadian itu, dua lagi rumah berhampiran turut mengalami kerosakan akibat ditimpa dahan pokok kekabu yang berusia lebih 30 tahun itu.

Seorang lagi mangsa, Rosdi Razali, 50, berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah bersama ibu bapanya yang sudah uzur dan situasi ketika itu sangat mencemaskan.

"Dinding dan bumbung rumah kedengaran bergegar dan saya sangat risaukan keadaan kedua ibu bapa saya terutama emak yang uzur kerana diserang strok sebelum membawa mereka berdua ke bahagian belakang rumah.

"Hujan lebat dan ribut kencang berlaku kira-kira 10 minit dan dalam tempoh itu saya tergerak hati untuk meninjau keadaan jiran dan cuba ke rumah sebelah sambil menjerit memanggil mereka.

"Tiba-tiba saya ternampak Sharoni terjun dari tingkap seterusnya merangkak dalam kesakitan untuk menyelamatkan diri dan saya terus mendapatkannya sebelum membawa ke belakang rumah," katanya sambil memberitahu garaj dan bumbung tandas rumahnya mengalami kerosakan.

Rumah sewa yang didiami Sharoni bersama tiga rakannya musnah ditimpa pokok kekabu tumbang ketika kejadian hujan ribut semalam di Kampung Pintu Geng. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rumah sewa yang didiami Sharoni bersama tiga rakannya musnah ditimpa pokok kekabu tumbang ketika kejadian hujan ribut semalam di Kampung Pintu Geng. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:02 PM