Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiga kawasan di Sabah dan empat perkampungan di Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 27 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan pertama dikenakan PKPD ialah Flat Sim-Sim, Mukim Berhala dan Kampung Sungai Obar, Batu 7, Mukim Sentosa, Sandakan.

"Selain itu turut dikenakan PKPD ialah Taman Villa Mas, Tawau dan Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini juga melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di empat perkampungan di daerah Temerloh, Pahang membabitkan Kampung Paya Pulai Tengah; Kampung Pulau Terap; Paya Pulai-Kampung Batu 4 dan Paya Pulai-Kampung Batu 5, Jalan Maran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD dikenakan ke atas semua kawasan terbabit atas nasihat dan penilaian risiko KKM.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk bagi memastikan tiada jangkitan dalam komuniti luar.

"Selain itu kerajaan juga bersetuju melajutkan PKPD di empat kawasan di Tawau iaitu Kampung Ranggu Batu 10 dan Fasa 2 Taman Semarak, Mukim Balung; Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar," katanya.

Sementara itu, mengenai operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 73 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), 64 daripadanya dikompaun manakala sembilan lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (14), aktiviti pusat hiburan (13), tiada penjarakan fizikal (6), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (4) serta lain-lain (15)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:12 PM