SULTAN Sharafuddin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan. FOTO ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Sharafuddin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan. FOTO ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my


Shah Alam : Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengingatkan umat Islam rebut peluang agar terus mendekatkan diri dengan Allah SWT.

"Baginda mengingatkan bahawa sebagai hamba Allah yang beriman, wajib bagi setiap umat Islam, menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk menginsafi dan bermuhasabah diri supaya menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan muslim yang cemerlang di dunia dan di akhirat," demikian kenyataan di Selangor Royal Office, hari ini.

Dalam pada itu, baginda juga berkenan menasihatkan muslimin dan muslimat yang akan mengimarahkan masjid dan surau khususnya yang menunaikan ibadah tarawih sepanjang bulan puasa ini agar terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19 daripada terus menular.

"Baginda tidak mahu jumlah kematian disebabkan Covid-19 terus meningkat dan berharap semua pihak tetap waspada dan tidak lalai dalam mengamalkan norma-norma baharu ketika menjalani rutin di bulan Ramadan.

"Baginda sentiasa mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri terus berkekalan," katanya.

Pada kesempatan itu juga, baginda, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1442 Hijrah kepada sekalian rakyat, khususnya di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 10:54 PM