Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya setiap rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Sempena memperingati hari bersejarah esok, baginda juga mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang sedang berjuang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 ketika ini.

"Baginda menzahirkan penghargaan khususnya kakitangan hospital serta pihak yang terbabit secara langsung seperti pengurusan jenazah dan pengebumian.

"Baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas ini dan mendoakan urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata," demikian titah baginda menerusi facebook Selangor Royal Office hari ini.

Pada masa sama, baginda juga mengingatkan kepada rakyat jelata supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

"Dengan menjiwai semangat merdeka dan patriotisme, baginda mahu sekalian rakyat tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin yang boleh menjejaskan sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, dan seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sediakala," demikian titah baginda.

Di kesempatan itu juga, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:29 PM